My Love..
Tinggal satu hari lagi sebelum menghantar semula anakku ke Asrama Sekolah Menengah Sains Muar. Sebagai seorang ibu, tipu andainya aku kata aku tidak sedih melepaskan dia pergi untuk ke sekian kalinya. Dan aku tahu, dia pun begitu juga walaupun dia tidak pernah menyatakannya. Anakku ini merupakan putera sulungku yang telah dilahirkan 16 tahun yang lalu. Hifni adalah seorang anak yang pendiam (mungkin mengikut sifat abah dan mamanya masa kecil-kecil dulu), pemalu dan tahap keyakinan dirinya agak rendah berbanding dengan rakan-rakan seusianya. Dek kerana dilahirkan sebagai anak sulung, maka sebagai ibu bapa, kami memang menaruh harapan yang sangat tinggi terhadapnya untuk menjadi contoh kepada 2 orang lagi adiknya. Selain dari jadual sekolah yang padat, jadual kelas tambahan (tuisyen)nya juga agak padat dan bermula seawal dia di darjah satu lagi. Hifni seorang anak yang agak teliti dan patuh kepada arahan mamanya. Tak pernah dia engkar andai disuruh menyiapkan latihan dari buku yang dibeli oleh kami. Pernah sewaktu di tadika, setiap 3 bulan dia dipindahkan ke kelas lain kerana mengikut gurunya di ketika itu, pencapaian yang sangat lemah ditambah dengan sikapnya yang pendiam, tindakan tersebut wajar diambil.
Waktu itu, aku sangat marah kerana Hifni baru nak rapat dengan kawannya, terus dipindah ke kelas lain, di kelasnya yang baru itu, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama pula untuk menyesuaikan diri dengan kawan serta guru barunya..kesian anak mama..:((
Berkat kegigihan dan keinginannya untuk berjaya disertai dengan motivasi dan doa dari abah dan mama yang tidak pernah putus, akhirnya dia berjaya menggapai keputusan 5A dalam UPSR dan 8A dalam PMR. Kami senantiasa menekankan, tiada kejayaan tanpa usaha..Usaha, Doa, Tawakkal adalah kunci segalanya..namun begitu , jangan sesekali putus asa andai Allah tidak memberikan kejayaan pada hari ini, mungkin Dia akan memberikannya pada hari esok atau pada bila-bila masa yang tidak akan kita ketahui..yang penting kita tidak boleh berhenti berusaha dan menadah tangan memohon yang terbaik dari Yang Maha Mendengar.
Semasa menduduki UPSR dan PMR, mama sentiasa di sisi Abang (panggilan untuk Hifni) sebagai pembimbing, tapi kini untuk SPM , tidak lagi kerana Abang perlu berusaha sendiri. Namun,bak kata pepatah `Jauh di mata, tapi dekat di hati', Abang sentiasa dekat di hati mama dan abah, tidak pernah lekang dari bibir kami mengirimkan doa agar Abang sentiasa berusaha mengejar kejayaan, tidak cepat patah semangat serta yang paling utama sentiasa mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta. Itulah harapan mama dan abah dari kejauhan ini.
Tatkala meninggalkan perkarangan asrama, air mata seorang ibu jatuh berjuraian..entah kenapa perasaan ketika itu umpama meninggalkan anak bersendirian di medan perjuangan..Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan anakku kepadaMu, Engkau lindungilah anakku Hifni dari sebarang gangguan syaitan dan manusia durjana, Engkau dekatkanlah dirinya kepadaMu Ya Allah....
