Friday, 16 March 2012

Keinsafan

Melihat keadaan adik ipar saya pada hari ini, hati menjadi sebak tiba-tiba...tidak terluah dek kata-kata. Hanya hati mampu berdoa `Ya Allah, Engkau ringankanlah beban kesakitan adikku ini, Engkau ampunkan segala dosanya samada yang besar maupun yang kecil, yang disengajakan atau yang tidak disengajakannya..Hanya Engkau yang Maha Mengasihani..' Adik ipar saya ini telah didiagnosed oleh doktor sebagai pesakit kanser Nasofarinks (NPC) 3 tahun yang lepas. Bermula dari ketulan kecil di bahagian leher yang semakin lama semakin membesar dan akhirnya menyebabkan pendengaran telinga sebelah kirinya terjejas serta hidung yang semakin lama semakin tersumbat. Kerana itu, beliau telah dirujuk ke Hospital Serdang dan di situlah segalanya bermula. Dengan berat badan dahulu yang mencecah sehingga 90kg, kini badannya hanya tinggal tulang yang dilindungi selapisan kulit yang nipis sahaja..Ya Allah, keadaannya amat menginsafkan saya bahawasanya Allah boleh menarik nikmat yang diberikan kepada kita dalam sekelip mata atau pada kadar yang lebih pendek dari itu. Kalau dulu Ata merupakan seorang yang mempunyai selera makan yang tinggi, penuh dengan gelak ketawa dan gurau senda, kini keadaan berubah 360 darjah..Tiada lagi mampu makan makanan pepejal, hanya susu dan air kosong sebagai pengalas perut dan pemberi tenaga, tiada lagi gelak tawa dan senda guraunya, hanya kelihatan air mata bergenang di kelopak matanya sebelah kanan   tatkala kami menziarahinya...mata kirinya tiada kelihatan lagi kerana dilindungi oleh bengkak sebesar bola tenis...Ya Allah, Engkau tetapkanlah iman Ata dalam dia menempuh ujianMu..Penyakit datang untuk menyucikan dosa-dosa kita agar kita lebih dekat kepadaNya..Kepada Ata, tiada lagi tempat mengadu yang lebih baik selain dari mengadu kepada Allah, dekatkanlah dirimu Dik kepada yang Maha Pencipta dan Yang Maha Mendengar, redhalah atas segala ujian yang diturunkan kepadamu..Anggaplah penyakit itu datang untuk membersihkan diri kita dari kesilapan yang lalu...kerana sebagai hambaNya yang lemah, kita tidak dapat lari dari melakukan salah dan khilaf..Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka untukmu..  

Kepada pembaca sekalian, ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara..kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, senang sebelum susah,lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati...

Labels: